07 Jun 2010

JUARA RAKYAT LESTARI PERPADUAN 1MALAYSIA


Program Juara Rakyat menurut Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman adalah memanifestasikan kelestrian perpaduan bangsa Malaysia yang jelas menjadi tunjang kelangsungan pembangunan negara.


Katanya, arus kemajuan yang menelusuri segenap pelusuk bandar dan desa adalah kesan kesepakatan antara lapisan rakyat dan kebijaksanaan pemimpin yang menautkan kesedaran ukhwah untuk melaksanakan tanggungjawab dalam mengisi kemerdekaan.

“Ini tanggungjawab kita sebab itu pemimpin tertinggi Umno dan Barisan Nasional khususnya Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak melaksanakan gagasan 1 Malaysia yang mendahulukan rakyat melalui penilaian pencapaian yang merangkul peranan wakil-wakil rakyat serta rakyat jelata bersatu mencemerlangkan negara”, katanya


Beliau berkata dalam sidang medianya selepas melancarkan Program Juara Rakyat Bahagian Libaran di kampung Sibugal Besar dalam zon Hub Pendidikan Sg. Batang Bandar Ilmu yang dihadiri lebih seribu penduduk dari tiga buah kampung berhampiran.

Menurut Ketua Menteri, pengisian aktiviti program Juara rakyat menjelaskan bertapa pentingnya perpaduan dan kerjasama kalangan bangsa 1 Malaysia sebagai benteng pertahanan maruah negara di kaca padangan antarabangsa.

“Kita bersatu, pemimpin turun padang melihat dan mendengar sendiri segala rintihan rakyat, Juara Rakyat adalah pemimpin dan rakyat berpadu menyelesaikan perbezaan, memperkasakan persamaan kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini” Katanya.

Beliau yang juga ADUN N42. Sg Sibuga, terharu dan tersentuh hati dengan ucapan terima kasih rakyat di atas perlaksanaan pelbagai pembangunan infrastruktur yang disalurkan kerajaan negeri dan persekutuan sehingga berjaya merubah landskap perkampungan dari lokaliti mundur kepada penempatan lebih maju dan selesa.


Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Libaran, menegaskan, kombinasi kerja dan persefahaman antara agensi-agensi kerajaan seperti Yayasan Sabah, Jasa, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan-jabatan yang ada kaitan terus dengan kehidupan Ekonomi Rakyat menjadi teras unggul menjana pembangunan negeri ini.


Melalui kerjasama itu, menurut beliau, banyak keperluan rakyat dapat ditunaikan dengan berkesan kerana katanya, sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, BN tetap menunaikan segala janji yang telah diberikan kepada rakyat sebagai terima kasih atas sokongan rakyat kepada BN.
Menyentuh Juara Rakyat Bahagian Libaran kelmarin beliau, berkata program sedemikian menjadi wadah untuk masyarakat berbagai peringkat usia melibatkan diri dan menyumbang khidmat tenaga dalam aktiviti kemasyarakatan yang mampu memperkasakan ikatan silaturrahim serta mensyukuri nikmat dari pembangunan negara.

“Malah penglibatan golongan remaja dan belia dalam acara yang diadakan antaranya Kursus Kemahiran Menyulam dan Jahitan Manik, kerja-kerja bergotong royong berupaya menyerlahkan bakat dan kebolehan golongan itu sebagai generasi pelapis modal insan dalam kesinambungan pembangunan negara”.


Dalam kontek Juara Rakyat ini, katanya, penerapan gagasan 1 Malaysia oleh kepimpinan BN membuktikan bahawa tiada satu kaum dalam negara ini dipinggirkan dari arus kemajuan perdana malah setiap rakyat kini merasa lebih selamat dan terbela dengan kesungguhan Perdana Menteri mendahulukan rakyat.

Justeru rakyat negeri diingatkan agar sentiasa berwaspada terhadap propaganda pihak- pihak yang sentiasa menyebarkan dakyah perkauman bagi memecahbelahkan keharmonian rakyat negeri ini yang telah terjalin semenjak sekian lama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan