JANGAN SYOK SENDIRI... Mungkin itulah pesanan tepat buat pimpinan pemuda UMNO Libaran yang dilihat layu, lemah dan terlebih 'putera' daripada Putera UMNO. Pemuda UMNO Libaran dilihat hampir tidak menyumbang apa-apa kepada perjuangan parti, jauh sekali untuk mengharapkan mereka ini membantu memertabatkan bangsa dan agama. Setelah diamanahkan memegang sayap melalui proses taburan janji manis semasa berkempen, apa yang terhasil hanyalah kewujudan sekumpulan pengapit YB. Sebagai salah seorang ahli pemuda UMNO Libaran yang mengharapkan kepimpinan baru Pemuda yang proaktif, kreatif dan bertenaga saya begitu kecewa kerana apa yang ada kini hanyalah kumpulan pemimpinan muda yang bukan sahaja bersikap reaktif, tidak kreatif malah begitu layu dan kaku.
Satu jawapan yang pasti ialah ramai pemimpin Pemuda UMNO Libaran terlalu sibuk... sama sibuk dengan ADUN dan Ahli Parlimen (MP), kerana apa sahaja aktiviti ADUN dan MP kepimpinan Pemuda pasti ada bersama bertujuan untuk menumpang nama dan menunjuk muka. Persoalannya sampai bila?
Dalam pilihanraya-pilihanraya sebelum ini UMNO/BN menang mudah di Sabah, malah meraih kemenangan dalam pilihanraya jauh lebih mudah berbanding memenangi jawatan dalam pemilihan parti. Tapi ingatlah senarionya mungkin berbeza kali ini.
Suatu ketika semasa di awal penubuhan Puteri UMNO, pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PAS begitu takbur mengatakan puteri UMNO tidak menggentarkan mereka, hasilnya pakatan pembangkang kalah teruk dalam pilihanraya umum dan deretan pilihanraya kecil. Menyedari kuasa dan tenaga anak muda pemimpin pembangkang menjilat ludah mereka sendiri dengan kewujudan sayap baru parti mereka iaitu PAS dengan Nisa'nya PKR dengan Srikandinya.
Suatu ketika sebelum pilihanraya 2008, UMNO/BN yang gah sebagai parti berkuasa terlepas pandang kuasa dunia blog. Pada masa bolggers propembangkang dilihat begitu agresif dan bergerak pantas UMNO masih mengharap sebaran maklumat secara konvensional. Natijahnya semua tahu, BN kehilangan majoriti 2/3. Kini telah wujud ramai bloggers prokerajaan dan sedikit sebanyak telah berjaya mengimbang kekuatan blogers propembangkang.
Di Libaran ini senario anak-anak muda mengusung laptop mengisi kedai makan berkemudahan wifi sudah menjadi suatu kebiasaan. Anak-anak muda ini sangat terdedah kepada berbagai maklumat. Mereka bukan lagi anak muda yang angguk-angguk sahaja. Malah boleh dikatakan mereka kini lebih banyak geleng daripada angguk. Apakah usaha pemuda UMNO untuk mendekati anak-anak muda ini? Sedarkah bahawa semakin ramai golongan muda yang menjauhkan diri dari UMNO?
Kalau Pemuda UMNO Libaran masih lagi bersikap elit dan hanya menjadi pengiring kepada orang-orang besar untuk mendapat habuan projek maka sesuai sangatlah pemuda sekalian hanya diberi tugas sebagai pemasang poster semasa pilihanraya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan